Monday 1 February 2010

bioteknologi-krisis makanan:)

Kerajaan akan menggunakan bidang bioteknologi sebagai alternatif bagi meningkatkan pengeluaran bahan makanan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Da- tuk Dr. Maximus Johnity Ongkili.
Beliau berkata, kerajaan mengalu-alukan penyertaan lebih banyak sektor swasta untuk bekerjasama dalam memajukan bidang itu.
"Kita mahu bioteknologi menjadi jawapan untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan sebagai penyelesaian krisis makanan dunia. Tiada sebab untuk menolak penggunaan bioteknologi sebagai penyelesaian kepada masalah ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Perniagaan Agro-Bio keempat sempena Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Beliau berkata, penubuhan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dengan perkembangan bidang itu sendiri.
Katanya, usaha kerajaan itu dilihat langkah awal yang dapat menangani krisis bekalan makanan dunia.
"Kita buat kajian pembangunan dan penyelidikan dalam bioteknologi dan tahu bilangan syarikat yang menyertainya masih rendah, malah kekurangan pelabur, kemudahan dan mekanisme untuk mengkomersialkan bidang ini," ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan juga sentiasa mengambil langkah positif untuk menambah peruntukan kewangan serta pembangunan dan penyelidikan, selaras dengan hasrat menjadikan bioteknologi sebagai satu sumber yang menguntungkan negara.

Sementara itu Pengarah Urusan Expomal, Chan Luck Seh berkata, MIFB 2008 mencatat peningkatan 50 peratus atau 4,753 pengunjung pada hari pertama pa- meran berbanding tahun lepas.
Jelasnya, angka itu dijangka meningkat terutamanya penambahan jumlah pengunjung luar negara sebelum pameran berakhir esok.

"Kita mencatat peningkatan 50 peratus jumlah pengunjung berbanding tahun lepas dan yakin ia akan mencatat rekod pengunjung tertinggi dalam sejarah MIFB selama ini.
"Kami bangga kerana menerima penyertaan yang banyak daripada luar negara. Ini membuktikan MIFB sudah diterima bukan sahaja di dalam negara, tetapi di peringkat global," katanya.
Kata Luck Seh, sehingga semalam, MIFB berjaya mengatur sebanyak 250 pertemuan perniagaan selain 1,000 lagi perjumpaan yang berlangsung hari ini dan esok.
"Kebanyakan syarikat yang membuat pameran mewakili negara Asia seperti China, Hong Kong, Iran, Singapura, Australia, India, Vietnam, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia," katanya.

Beliau seterusnya berkata, MIFB 2008 merupakan platform paling ideal untuk usahawan tempatan dan luar negara berkumpul serta berkongsi maklumat bagi meningkatkan rangkaian perniagaan masing-masing.
Jelasnya, MIFB 2008 juga bakal mewujudkan peluang perniagaan dalam industri makanan dan minuman di samping meningkatkan pengeluaran makanan bagi membantu mengatasi masalah kekurangan makanan sejagat.
Pameran MIFB 2008 yang akan berakhir esok dianjurkan bersama Kumpulan Utusan dan Expomal International Sdn. Bhd. (Expomal) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.



-aizaa azhar

No comments:

Post a Comment